Pelanggan tak patut kena teka apa bisnes anda buat sebelum mereka nak hubungi anda. Kalau pelanggan anda ada pilihan bahasa berbeza, website dua bahasa boleh bantu mereka faham tawaran anda. Tapi bukan tukar bahasa menu saja.

Terangkan tawaran dengan bahasa pelanggan

Mula dengan halaman yang bantu pelanggan buat keputusan: servis, detail produk, penerangan harga, penghantaran dan cara hubungi anda. Maksud kena sama, tapi ayat tak perlu ikut bulat-bulat. Terjemahan yang betul pun boleh rasa pelik bila dibaca.

Contohnya, butang “Jom bincang” mungkin sesuai untuk studio kreatif. Servis perolehan pula mungkin lebih sesuai dengan “Minta sebut harga”. Pilih gaya yang kena dengan pelanggan dan tindakan yang anda nak mereka ambil.

Senangkan pelanggan tukar bahasa

Guna label BM dan EN yang jelas. Bila pelanggan tukar bahasa, kekalkan mereka pada halaman yang sama. Semak label borang, mesej ralat dan paparan pengesahan, bukan tajuk saja. Cuba teks butang yang paling panjang pada telefon kecil.

Tetapkan siapa yang jaga kemas kini. Kalau tawaran English berubah, versi BM kena disemak dalam kerja yang sama. Website dua bahasa perlukan rutin ringkas supaya maklumat sentiasa sepadan.

Bagi setiap bahasa alamat yang jelas

Google mencadangkan URL berbeza untuk setiap versi bahasa dan pautan yang membolehkan pelawat pilih bahasa sendiri. Dokumentasinya juga menerangkan penggunaan hreflang untuk kenal pasti halaman bahasa yang sepadan. Ini bantu penemuan halaman, bukan jaminan ranking.

Tanya developer macam mana halaman terjemahan dipautkan, macam mana URL canonical diurus dan sama ada kandungan utama boleh dibaca tanpa perlu klik butang bahasa dahulu. Panduan Google ada di bawah.

Sumber & bacaan lanjut